Monday 1 May 2017

Ph.D: Menghampiri Garis Penamat!






“Apa yang kelihatan mustahil pada akal manusia biasa
akan tetap terjadi sekiranya Allah menghendakinya…”

 

Rasanya masa berjalan begitu pantas. Setelah pembentangan kemajuan, anda perlu bersedia untuk pembentangan pemantapan (merujuk kepada Fakulti Pendidikan UKM). Pembentangan kali ini melibatkan keseluruhan tesis anda yang lengkap (Bab 1 – Bab V) iaitu bermula dengan Pengenalan, Tijauan Literatur, Metodologi, Analisis Data dan Rumusan/Kesimpulan.

Pembentangan Pemantapan

Analisis data sudah dibentangkan semasa peringkat kemajuan. Justeru, tugas anda kini ialah membuat analisis, sintesis, rumusan dan kesimpulan daripada analisis data  yang dibuat. Ini merangkumi interpretasi data daripada pelbagai sumber, mengaitkan dapatan dengan tinjauan literatur dan merumuskan dapatan serta membuat kesimpulan. 

 
            
 Persediaan powerpoint? Tak jadi masalah kerana ini ia hanya memerlukan sedikit penambahan kepada powerpoint yang telah sedia ada semasa peringkat kemajuan dulu, cuma yang perlu ditambah ialah bahagian perbincangan, implikasi kajian, rumusan dan cadangan untuk kajian  lanjutan. Walau bagaimana pun inilah peringkat yang paling mencabar kerana, menurut penyelia saya, di sinilah terserlahnya kesarjanaan seseorang pelajar. Penulisan perlu dibuat dengan berhati-hati. Pemikiran perlu berada pada fokus yang paling tinggi.

            Penulisan bab akhir ini memerlukan anda untuk betul-betul menggunakan pemikiran aras tinggi. Sekiranya perlu, ambil 3-5 hari untuk pergi ke suatu tempat di mana anda tidak boleh diganggu. Minta kerjasama dari orang sekeliling anda (seperti orang tersayang, ahli keluarga) untuk memahami keadaan anda pada peringkat ini. Nyatakan dengan jujur, telus dan ikhlas kepada mereka akan apa yang perlu mereka buat untuk membantu anda pada peringkat ini iaitu : ” Masa untuk tidak diganggu”.

            Bagi memungkinkan penulisan pada peringkat ini, anda perlu membaca keseluruhan bab sebelum ini, bermula dengan Pengenalan (Pernyataan masalah, persoalan kajian, objektif kajian dan lain-lain), tinjauan literatur, metodologi kajian dan analisis data. Anda perlu mendapatkan gambaran keseluruhan secara sepadu kerana penulisan peringkat ini mesti dikaitkan dengan bab-bab sebelumnya. Interpretasi yang timbul perlu dikaitkan dengan pernyataan masalah, persoalan kajian dan objektif kajian. Dapatan kajian pula perlu dikaitkan dengan tinjauan literatur (teori dan kajian lepas yang berkaitan). Mungkin juga anda akan dapati percanggahan hasil kajian anda dengan kajian lepas. Anda perlu membuat analisis dan rumusan beserta justifikasi yang boleh dipertanggungjawabkan. Mungkin mengaitkan dengan metodologi yang digunakan. Justeru, benarlah kata-kata penyelia saya: Peringkat ini menentukan kesarjanaan seseorang pelajar.

            Setelah deraf pertama siap, biarkan untuk beberapa hari sebelum disemak bagi memberi peluang rehat untuk minda anda; ini akan membantu kecekapannya membuat semakan. Baca keseluruhan deraf. Buat pembetulan yang difikirkan perlu. Puas hati? Bagus! Sekarang anda telah bersedia untuk pembentangan. Sebelum hari pembentangan, pastikan anda memberi kerehatan yang cukup pada diri anda – fizikal, mental dan emosi. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar memudahkan perjalanan anda.

Semasa pembentangan, lakukan penuh ketenangan. Tiada apa yang perlu anda bimbangkan lantaran anda telah berada di peringkat akhir. Anda telah lakukan segala usaha yang memungkinkan anda berada pada peringkat ini. Tunjukkan keyakinan nescaya anda akan diyakini oleh semua yang hadir. Beri respons yang baik kepada setiap persoalan dan kritikan.

Selepas pembentangan, biasanya anda perlu membuat pembetulan berdasarkan komen pemeriksa dan penyelia anda. Buat secepat mungkin sebelum segala-galanya pudar dari ingatan. Teruskan momentum sedia ada dengan penuh ketabahan. Hindarkan rasa jemu dan bosan yang mungkin melanda. Ingat, perjalanan dan hampir ke penghujung... Anda perlu menghantar tesis akhir yang membolehkan anda layak untuk viva.

Viva
 

Terpegun anda dibuatnya mendapati perjalanan intelek ini sudah menghampiri penghujungnya! Setelah menghantar deraf tesis lengkap, anda terpaksa bersedia untuk menghadapi cabaran hebat dalam usaha memburu cita-cita mendapat Ph. D: ujian lisan atau viva, satu istilah yang mampu menggegarkan jiwa setiap pelajar Ph.D! Apa tidaknya – ia bakal menentukan samada kejayaan bakal anda miliki atau sebaliknya. Menurut seorang rakan: Viva menguji, antaranya tiga perkara: sama ada anda buat betul, buat betul-betul dan betul-betul buat!

i.  Sebelum Viva

Sekiranya anda telah melaksanakan setiap peringkat tesis dengan baik mulai daripada Usulan Penyelidikan, Perkembangan dan Pemantapan, anda tidak perlu risau kerana soalan-soalan yang bakal dikemukakan cuma berkisar kepada kerja yang telah anda buat. Apa yang perlu anda lakukan ialah menyediakan Ringkasan Eksekutif (lebih kurang 10 muka surat), buat pembetulan tesis (berdasarkan maklum balas, komen dan cadangan semasa pembentangan pemantapan yang lalu) dan paling penting persediaan untuk pembentangan semasa viva (seperti power-point).

  • Persediaan Pembentangan
Bagi Ringkasan Eksekutif, mungkin tiada masalah kerana anda hanya perlu membuat sedikit pemurnian pada pembentangan semasa Pemantapan dulu. Begitu juga, mungkin hanya sedikit pembetulan bagi tesis. Yang agak kritikal sekarang ialah persediaan untuk pembentangan. Anda perlu banyak berlatih agar ianya dapat dibentangkan dengan lancar, menggunakan intonasi yang sesuai dan menepati peruntukan masa (biasanya 20 minit).

Anda perlu betul-betul bersedia kerana anda diharap menunjukkan persembahan terbaik (excellent performance) pada hari tersebut. Bagaimana? Anda perlu jelas tentang keseluruhan tesis anda. Tiada masalah kan? Ini kerana anda sendiri yang membuatnya bermula daripada mendapatkan persoalan kajian, membuat kajian di lapangan, mengutip dan menganalisis data, membuat interpretasi, rumusan dan kesimpulan kajian anda. Ini bermakna anda telah menguasai keseluruhan tesis tersebut. Anda perlu jelas tentang tesis anda – setiap muka surat, setiap baris dan metodologi yang digunakan.
  • Soalan Jangkaan
Apa yang merisaukan ialah tentang soalan yang bakal dikemukan semasa viva kan? Ya, itu memang benar. Viva, selain daripada menguji tesis anda, ia juga menguji sejauh mana keupayaan anda untuk mempertahankan setiap hujah yang dikemukakan dalam tesis, memberi penjelasan lanjut terhadap apa yang pembaca perlukan, meyakinkan pemeriksa bahawa anda dan tesis anda layak diiktiraf untuk penganugerahan Ph.D. Selain daripada menjelaskan kepada pemeriksa tentang bidang kajian anda,  tujuan viva juga ialah untuk membuktikan anda betul-betul pakar dalam bidang kajian anda. Justeru, semasa persediaan power-point untuk pembentangan, ramalkan soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh pemeriksa dan bersedialah dengan jawapannya. Anda boleh sediakan jawapan pada slaid di bahagian akhir. Katalah pembentangan anda mengandungi 20 slaid, jadi slaid berikutnya (mungkin 10 slaid) adalah jawapan kepada soalan-soalan jangkaan anda.

  • Latihan Intensif Pembentangan

Sekarang power-point dah selesai. Puas hati? Baiklah, sekarang anda perlu berlatih sebaiknya untuk pembentangan. Fokuskan kepada ”flow”, intonasi suara dan paling penting peruntukan masa. Gunakan perakam suara bagi memastikan anda menepati peruntukan masa (20 minit atau tempoh yang ditetapkan oleh institusi anda sebagaimana tercatat dalam surat panggilan untuk viva). Keupayaan anda untuk membentangkan tesis secara padat, tepat dan spesifik pada masa yang ditetapkan juga merupakan antara kemahiran profesional yang perlu anda kuasai sebagai seorang calon “Dr.”.Rakam dan dengar semula rakaman tersebut bagi memastikan penggunaan bahasa yang tepat, jelas, intonasi suara yang menarik untuk didengar, menunjukkan keyakinan yang tinggi dan menggambarkan anda benar-benar mahir dalam bidang kajian yang dibuat. Ingat, pemeriksa merupakan insan biasa yang akan terpegun dengan pembentangan yang menarik dan meyakinkan.

Fahami dengan jelas maksud ”power point” iaitu ”point” yang ada ”power”. Pada setiap slaid itu masukkan hanya fakta penting sahaja. Anda tentu sudah mahir teknik CASPER dalam penyediaan persembahan power point kan? Secara ringkasnya, ia merujuk kepada banyak mana perkataan yang perlu dimasukkan dalam sesuatu slaid. Elakkan daripada pembentangan power point yang seperti ”buku elektronik” yang dipaparkan. Pemeriksa dan semua yang hadir semasa viva tiada masa untuk membaca kesemua perkataan yang terlalu banyak pada satu-satu slaid. Walau pun ini adalah sesuatu yang tersangat asas, namun ia tidak kurang pentingnya kerana boleh mempengaruhi emosi dan mental semua yang hadir semasa viva lantaran ”letih” membacanya!

  • Persediaan Kerohanian

Seterusnya, sebagaimana keresahan dan kerisauan anda semasa memulakan perjalanan, perkara yang sama berulang lagi dalam diri anda. Resah. Gelisah. Risau. Cemas. Bimbang. Itulah hakikat yang harus diterima. Apakah yang perlu anda lakukan? Jangan hilang arah. Ingat tak semasa memulakan perjalanan? Anda kan telah meletakkan matlamat pengajian ini ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, mohonlah bantuan dari-Nya yang tidak pernah dan tidak akan mengecewakan anda. 3-4 minggu sebelum viva, selain daripada persiapan mental/intelektual (ringkasan eksekutif, pembetulan tesis, persembahan power-point), anda juga perlu persediaan kerohanian.

Teringat saya pesan seorang rakan yang mendapat kejayaan cemerlang dalam viva: ”Dekatkan diri kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa, Allah s.w.t. Lakukan solat taubat (memohon kebersihan jiwa/hati/nurani agar dapat dipenuhi oleh nur Ilahi), solat hajat (agar dikurniakan Allah ketenangan, kesabaran dan kebijaksanaan dan seterusnya kejayaan yang cemerlang dalam viva nanti) dan berzikir secara berterusan (istiqamah).” Ya,  yakinlah dengan bantuan Allah. Ingat: Tiada yang mustahil dengan bantuan Allah dan tiada yang dapat menghalang sekiranya anugerah Allah!

  • Jaga Kesihatan (Mental, Fizikal dan Emosi)

Selain daripada itu, di peringkat kritikal ini, anda perlu jaga kesihatan sebaik mungkin: mental, fizikal dan emosi. Dari segi mental, tenangkan fikiran anda agar dapat berfikir dengan baik. Menurut mentor saya, kita tidak boleh berbuat sesuatu dengan rasional sekiranya tiada ketenangan. Dari sudut fizikal pula, jaga pemakanan, senaman dan kesihatan bagi memastikan anda kekal mantap bila tiba hari viva.

Manakala dari segi emosi pula, kekalkan kemahiran interpersonal anda iaitu jaga hubungan dengan orang di sekeliling anda agar tidak timbul konflik yang boleh mengganggu emosi anda. Kenal pasti individu-individu yang positif dan bermotivasi untuk berinteraksi bagi meningkatkan motivasi dan dorongan di saat-saat ini. Bertanyalah pada mereka yang telah berjaya dalam perjalanan intelek ini bagi mendapatkan panduan-panduan berguna.

ii. Semasa Viva

Setelah bertungkus lumus membuat persediaan, hari viva pun tiba... Seperti panduan peperiksaan biasa: datanglah awal supaya anda dapat bertenang. Pastikan anda membawa semua keperluan untuk viva, antaranya: tesis anda, komputer riba, pen, pensil, kertas, ringkasan eksekutif, air mineral dan lain-lain yang anda rasakan perlu. Semasa menunggu, bertenanglah. Jangan lupa berzikir dan  berselawat. Rasanya inilah antara saat anda memang betul-betul perlu berdoa dan bertawakkal kepada Allah setelah segala usaha dilakukan dengan sebaik mungkin.
  • Cipta Permulaan yang Baik

Semasa melangkah masuk ke bilik peperiksaan, baca doa dan kekalkan ketenangan. Berilah senyuman kepada yang hadir. Anggaplah mereka sebagai pasukan yang akan membantu mengesahkan kejayaan anda. Mereka merupakan individu-individu penting di institusi anda: biasanya dekan fakulti pengajian, penyelia-penyelia anda pemeriksa dalam dan wakil fakulti. Selain daripada itu, pemeriksa luar juga hadir semasa sesi viva. Tunjukkan penghargaan pada mereka dengan memberi salam atau ucapan selamat, tutur kata dan bicara yang sopan diiringi dengan senyuman ikhlas. Dengan cara ini, anda bukan sahaja berupaya mengurangkan gemuruh dalam diri tetapi menghasilkan jalinan perasaan yang positif dengan mereka. Satu permulaan yang baik untuk merangsang anda menghadapi ujian penentu kejayaan di garisan penamat perjuangan ini!

  • Buat Pembentangan Terbaik
Selepas sedikit kata-kata aluan dan panduan/peraturan peperiksaan selesai diberikan oleh pengerusi, sekarang tibalah giliran anda untuk membentang. Dengan ucapan Bismillah dan salam kepada yang hadir,mulakan pembentangan dengan penuh yakin, tenang, jelas dan menarik untuk didengar. Anda tidak perlu risau lantaran anda telah  membuat persediaan yang terbaik. Ingat: Buat yang terbaik! Tarik perhatian pendengar semasa pembentangan. Iktirafkan kehebatan anda! Jika tidak, anda tidak berada di situ! Jadikan viva satu kenangan manis untuk diingati!

 
  • Sesi Soal-Jawab

Pembentangan selesai. Kini tiba sesi yang lebih mencabar: soal-jawab di mana anda akan dihujani soalan-soalan daripada kesemua yang hadir. Jangan bimbang. Jawapan kepada semua soalan ada dalam tesis anda (justeru, ada di minda anda!). Dan mungkin juga ada dalam 10 slaid terakhir power-point anda! Soalan-soalan mereka hanya memohon penjelasan lantaran kefahaman mereka tentang kajian anda sudah tentu tidak dapat menandingi kefahaman anda. Kenapa? Anda telah bertungkus-lumus, siang dan malam selama 3-7 tahun dengan kajian tersebut sedangkan mereka mendengar tentangnya selama pembentangan 20 minit sahaja (tidak termasuk penyelia-penyelia anda, pemeriksa dalam dan pemeriksa luar yang telah ditugaskan menyelia dan memeriksa tesis anda).

Walau bagaimana pun mereka adalah pakar. Jadi, berilah jawapan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Beri masa untuk diri anda berfikir bagi membolehkan jawapan yang diberik mempamerkan keyakinan, kebijaksanaan dan penguasaan tesis yang mantap. Bagi menyokong jawapan, kenal pasti rujukan utama yang digunakan dalam tesis. Sebut rujukan ini dengan penuh keyakinan apabila perlu semasa mengemukakan jawapan. Pemeriksa akan terpegun dan berpuas hati dengan pelajar yang yakin tentang apa yang dibuat.

Selain daripada itu, anda perlu bertenang dan bersikap terbuka. Terima cadangan yang diberi dengan berhati-hati dan bijak. Walau bagaimana pun jangan terlalu cepat untuk mengubah apa yang telah anda buat. Pemeriksa hanya ingin memastikan bahawa anda benar-benar faham apa yang anda buat dan anda sendiri yang membuatnya! Jangan menganggap setiap cadangan yang dikemukakan sebagai saranan untuk mengubah tesis anda. Keputusan yang dibuat semasa melaksanakan kajian tidak seharusnya diubah semasa viva. Anda seharusnya dan sepatutnya membentangkan secara jelas dan memberi justifikasi, nyatakan kefahaman dan perspektif anda semasa penulisan dibuat tentang persoalan yang ditimbulkan.

  • Bersedia Untuk Perkara Di Luar Jangka

Sebagaimana anda bersedia untuk menghadapi perkara-perkara di luar jangka semasa persediaan dahulu, begitu juga semasa viva. Bersedialah untuk menghadapi situasi yang tidak menyenangkan seperti pemeriksa yang tidak bersimpati dengan anda, soalan-soalan yang dikemukakan tidak relevan (pada anggapan anda) atau cuba meremehkan usaha anda dan lain-lain. Kekalkan ketenangan dalam diri anda dan terus pamerkan keyakinan dan kebijaksanaan dalam menghadapi situasi tersebut di samping kekalkan hubungan menegak anda – dengan Allah s.w.t. Beritahu diri anda bahawa setiap usaha yang diiringi dengan doa dan tawakkal akan insya’-Allah membuahkan kejayaan yang diharapkan. Allah tidak pernah menghampakan...

Tanpa disedari, sesi pembentangan dan soal-jawab berakhir. Seterusnya, anda diminta keluar bilik untuk beberapa ketika bagi membolehkan pasukan penilai berbincang dan memberi keputusan samada anda layak dianugerahkan Ph.D atau sebaliknya. Di saat menunggu, bersyukurlah kerana anda telah sampai ke tahap ini dan berdoalah semoga kejayaan menjadi milik anda.

Anda lulus! Seiring dengan itu, ada akan menerima ucapan tahniah dari semua yang hadir. Kegembiraan anda di luar ungkapan kata-kata! Jangan lupa – berilah penghargaan dan ucapan terima kasih kepada setiap ahli majlis yang hadir (Saya nyatakan begitu bagi mengelakkan anda terlupa dek terlalu gembira!)

Pengalaman

Setelah pembentangan selesai, saya diminta keluar bilik bersejarah itu untuk menunggu ahli majlis membuat keputusan samada saya layak atau tidak dianugerahkan Ph.D. Semasa penantian, apa yang saya rasa hanya kelegaan kerana telah melalui ujian 20 minit yang lepas tanpa banyak masalah. Perasaan bimbang terus meninggalkan sanubari saya kerana saya telah membuat yang terbaik. Telahan ini adalah berdasarkan reaksi semua yang hadir, yang kelihatan, tenang, damai, selesa dan ceria! Sepanjang pembentangan dan sesi soal jawab juga mereka kelihatan berpuas hati. Lagi pun, waktu itu, saya sudah terlalu penat untuk bimbang!

      Alhamdulillah, telahan saya ternyata tepat! Setelah dipanggil masuk, saya diberi ucapan tahniah oleh semua yang hadir. Apa yang amat membahagiakan ketika itu ialah panggilan “Dr.” yang pertama untuk saya daripada penyelia saya sendiri!

iii. Selepas Viva

Setelah semuanya berlalu, anda mungkin tidak mampu lagi untuk bergembira lantaran terlalu penat: fizikal dan mental! Biasanya orang lain yang lebih gembira dari anda atas kejayaan tersebut! Ini adalah lumrah kerana yang bertungkus siang malam, setiap detik bermula daripada menerima surat untuk hadir viva,ialah anda, bukan mereka! Walau bagaimana pun, pamerkan kegembiraan anda, walau pun dalam keadaan terpaksa! Jangan hampakan mereka. Sekiranya mereka ingin meraikan kejayaan anda, penuhilah hasrat mereka kerana mereka juga ada hak untuk diraikan. Kenapa? Ini kerana, mereka biasanya merupakan orang-orang yang dekat dengan anda dan membantu anda samada dari segi sokongan moral, material, masa, buah fikiran dan sebagainya, sepanjang perjalanan intelek sehingga memungkinkan anda berada di puncak kejayaan di hari tersebut!

c) Pemurnian Tesis

Namun, sekarang perjuangan belum selesai! Anda mungkin diberi tempoh tiga (atau enam) bulan untuk membuat pemurnian pada tesis anda. Ada juga yang cemerlang – hanya diberi tempuh 2-3 minggu sahaja. Ambil peluang ini untuk membuat temu janji dengan penyelia dan juga pemeriksa anda.
  1. Jangan Bertangguh
Satu ingatan penting: Jangan bertangguh! Jangan leka dibuai dengan kenangan manis kejayaan semasa viva sehingga menyebabkan anda terlalu asyik meraikan kejayaan dengan memberi kerehatan berlebihan pada diri anda! Masa berjalan pantas. Memang anda tersangat penat. Tapi, seperti jaguh atlet yang menghabiskan larian 400m, saat paling mencabar adalah apabila berada hampir di garisan penamat – semua tenaga telah dikerah, namun masih perlu sedikit lagi kekuatan untuk sampai ke garisan yang memungkinkan gelaran juara!
ii.                  Rehat Sekadarnya
Begitu juga dengan anda kini. Rasanya semua usaha telah dilakukan di tahap maksimum, apa salahnya kalau berehat sekejap? Boleh... tapi jangan terlalu lama, sekadar cukup untuk mengelakkan tali yang terlalu tegang daripada putus! Maknanya, sekadar memberi kerehatan yang sepatutnya pada diri anda bagi mengekalkan kesihatan anda dan mengelakkan perkara tidak diingini berlaku pada diri anda (jatuh sakit, tekanan mental – mohon dijauhkan). Berlaku adillah pada diri anda dan hargailah diri anda sebagaimana sepatutnya. Usaha gigih telah anda laburkan sehingga berjaya sampai ke tahap ini, kan? Ucaplah tahniah kepada diri sendiri!

iii.  Bijak Mengatur Temu Janji
Setelah membuat temu janji dengan penyelia dan pemeriksa dalam dan pemeriksa luar anda, buat persediaan secukupnya sebelum berjumpa dengan mereka. Bagi menjimatkan masa, teknologi juga boleh digunakan. Sekiranya anda merupakan pelajar separuh masa yang tinggal jauh daripada institusi pengajian anda, gunalah e-mail untuk berhubung. Namun ada juga penyelia atau pemeriksa luar yang lebih mengutamakan perbincangan bersemuka. Lihatlah kesesuaian dan keutamaan mereka dan cuba penuhinya. Ini memudahkan proses menyiapkan tesis anda lantaran penerangan jelas secara bersemuka akan memberi impak lebih baik. Di waktu ini juga anda tidak perlu berkira dengan kos, masa dan tenaga yang perlu anda laburkan demi kejayaan peringkat akhir ini.

 Pembetulan yang perlu dibuat kadang-kadang boleh memaksa anda menghadiri sampai tiga kali perjumpaan. Sekiranya pemeriksa anda merupakan individu yang sibuk, masalahnya ialah dalam mengatur pertemuan. Kadang-kadang anda sampai ke tempat yang dijanjikan setelah menempuh perjalanan beratus kilometer hanya mendapati pemeriksa anda berada di tempat lain kerana menghadiri mesyuarat atau konferens! Alangkah hampa dan kecewanya! Bersabarlah. Ini merupakan sebahagian daripada ujian perjalanan intelek yang tidak akan dilalui oleh orang lain yang tidak berpeluang merintis jalan ini. Tahap kesabaran anda betul-betul teruji! Jangan berputus asa lantaran harga sebuah kejayaan juga terletak kepada kesabaran dan ketabahan anda menghadapi ujian-ujian sebegini.

            Sentiasa beritahu diri anda bahawa pemeriksa anda juga merupakan manusia biasa yang tidak sunyi dari kesilapan, lupa dan alpa. Sememangnya beliau tidak bermaksud menyusahkan anda, tapi kadang-kadang beliau juga tersepit dengan komitmen lain yang lebih penting dan perlu diberikan keutamaan. Percayalah, sekiranya anda mampu mengamalkan sifat memaafkan, hatinya akan lembut dan beliau akan lebih bersedia memberi kerjasama yang baik kepada anda pada pertemuan akan datang. Di akhir  perjalanan, kita akan semakin menyedari kenapa orang menganggap makna Ph.D itu lebih utama kepada proses yang dilalui, yang mampu membentuk keperibadian seseorang, daripada sekeping ijazah yang diterima. Ini kerana sepanjang perjalanan, anda banyak belajar perkara-perkara yang berupaya mematangkan diri anda bukan sahaja dari dari  segi intelek, malah juga emosi. Secara tak langsung, kemahiran interpersonal juga meningkat kerana anda terpaksa berhubung dan berinteraksi dengan pelbagai individu profesional yang mempunyai pelbagai gaya. Ini juga merupakan antara pengalaman yang amat berharga buat anda. Manalah tau, melalui hubungan baik anda dengan mereka, berupaya membantu kerjaya anda di masa depan.

Format Tesis

Pada peringkat ini juga anda perlu membuat temu janji dengan pegawai di Pusat Pengajian Siswazah (PPS) bagi memastikan tesis anda mengikut format yang ditetapkan. Ini penting kerana selagi PPS tidak berpuas hati, tesis anda tidak akan diperakui. Sekiranya anda tinggal jauh daripada tempat pengajian anda, buatlah temu janji yang sesuai agar perjumpaan dengan penyelia, pemeriksa dan pegawai PPS dapat disusun dalam tempoh masa yang sama. Sekiranya anda pelajar separuh masa tanpa biasiswa, ini mampu menjimatkan masa, kos dan tenaga. Begitu juga, sekiranya anda pelajar yang mendapat cuti bergaji penuh dengan biasiwa, mungkin cuti anda sudah berakhir. Jadi, kebijaksanaan mengurus masa amatlah penting.

            Semasa membuat pemurnian di peringkat ini, anda juga harus ingat bahawa tesis anda nanti bakal dirujuk oleh pelajar-pelajar Ph.D yang akan membuat kajian di bidang yang sama atau menggunakan metodologi yang sama. Justeru, pastikan anda buat yang terbaik. Beri masa yang secukupnya untuk memastikan tiada kesilapan pada tesis anda. Jika perlu, dapatkan bantuan individu yang dirasakan sesuai untuk menyemak tesis anda, Ingat. Ini adalah tesis Ph.D. Harus berada pada tahap cemerlang! Dan anda diberi peluang membuatnya sekali seumur hidup. Jadi, saya ulangi: Buat yang terbaik!

Penjilidan Tesis

Setelah tesis anda telah diperaku oleh PPS untuk penjilidan, kenal pasti kedai yang dapat membuat penjilidan terbaik. Biasanya PPS akan mencadangkan kedai tertentu yang sudah diakui kualitinya. Sebaik-baiknya anda akur dengan cadangan PPS demi kebaikan. Ini kerana, kemungkinan anda berupaya mendapat kedai yang menjanjikan kos yang lebih rendah, tapi bagaimana dengan kualitinya? Ada kes pelajar Ph.D yang memilih kedai yang menjanjikan kos yang rendah berbanding dengan kedai cadangan PPS bagi menjimatkan kos lantaran terpaksa membuat penjilidan yang banyak (melebihi 10 naskah). Namun setelah semuanya siap, baru didapati kelemahan pada tesis yang siap dijilid. Kualitinya sangat mengecewakan hingga ia terpaksa mengambil keputusan membuat penjilidan semula di kedai cadangan PPS! Bayangkan kos yang terpaksa ditanggung dengan penjilidan semula tersebut... Tentu anda tidak mahu ini berlaku pada diri anda, kan? Oleh itu, janganlah terlalu berkira untuk membayar demi jaminan kualiti. Ingatlah: Anda telah melalui perjalanan yang ”mahal” ini hanya sekali seumur hidup. Sesuatu yang ”mahal” memang menuntut bayaran yang tinggi. Dengan lain perkataan, ”kualiti tidak boleh dibayar dengan harga yang murah”. Jadi, eloklah diambil pengajaran dari pengalaman orang lain untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak dan seterusnya mendapat hasil yang memuaskan. Kata pujangga:”ukur dua kali, potong hanya sekali”. Maknanya, kita berfikir beberapa kali dalam membuat sesuatu keputusan agar tindakan yang diambil bijak, tepat, yakin dan tanpa penyesalan...

Naskhah Akhir Tesis

Sekarang tesis anda sedia untuk dihantar ke institusi anda – mungkin lima naskah. Selain daripada itu, anda perlu hantar ke EPRD, Jabatan Pelajaran Negeri (syarat yang ditetapkan semasa memohon kebenaran dahulu). Walau pun tiada siapa yang akan menyemak hal ini, tapi demi memanfaatkan ilmu, keberkatan diri dan integriti anda, eloklah diserah secepat mungkin. Anda juga mungkin bercadang membuat naskah tambahan untuk dihadiahkan kepada organisasi tempat anda bertugas, mentor/motivator dan rakan-rakan istimewa yang telah membantu memungkinkan kejayaan anda. Lebih banyak anda memberi, lebih besar ganjaran Allah untuk anda, insya’-Allah. Walau bagaimana pun, ini bergantung kepada keadaan kewangan anda. Tepuk dada, tanya iman!

            Selepas menyerahkan tesis kepada institusi anda (Fakulti dan PPS), lega tak terkira! Apatah lagi bila diberitahu oleh PPS bahawa surat jemputan ke konvokesyen akan menyusul kemudian! Antara saat manis untuk diingat dalam perjalanan intelek ini ... Konvokesyen PH.D!


INTISARI ...
  • Penulisan peringkat ini:
*             Terserlahnya kesarjanaan seseorang pelajar
*             Perlu dibuat dengan berhati-hati.
*             Pemikiran perlu berada pada fokus yang paling tinggi
*             Baca keseluruhan bab, dapatkan gambaran keseluruhan secara sepadu
*             Mesti dikaitkan dengan bab-bab sebelumnya
*             Interpretasi : dikaitkan dengan pernyataan masalah, persoalan kajian dan objektif kajian
*             Dapatan kajian:  perlu dikaitkan dengan tinjauan literatur (teori dan kajian lepas yang berkaitan)
*             Biarkan penulisan untuk beberapa hari sebelum disemak - beri kerehatan minda
*             membantu kecekapannya membuat semakan
  • Minta kerjasama dari orang sekeliling anda: Nyatakan dengan jujur, telus dan ikhlas kepada mereka bantuan yang diperlukan : ” Masa untuk tidak diganggu”.
  • Viva
*                  Viva menguji, antaranya tiga perkara:
*                  sama ada anda buat betul
*                  buat betul-betul dan
*                  betul-betul buat!
  • Sebelum viva:
*                  Persediaan untuk pembentangan:
Ø     banyak berlatih agar pembentangan lancar, intonasi yang sesuai dan menepati masa (biasanya 20 minit).
Ø     Latihan untuk pembentangan:
Ø  Gunakan perakam suara dan dengar semula bagi memastikan akur dengan peruntukan masa
Ø  Bersedia untuk persembahan terbaik (excellent performance)
Ø  ramalkan soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh pemeriksa
Ø  bersedialah dengan jawapannya pada slaid di bahagian akhir
*                  Tingkatkan kecerdasan kerohanian:
Ø   solat taubat
Ø   solat hajat
Ø   berzikir secara berterusan
  • jaga kesihatan sebaik mungkin: mental, fizikal dan emosi.
  • Kesihatan fizikal: jaga pemakanan, senaman dan kesihatan
·         kesihatan emosi: tenangkan fikiran, kekalkan kemahiran interpersonal
  • jaga hubungan dengan orang di sekeliling
  • Elakkan sebarang konflik yang boleh mengganggu emosi
  • Kenal pasti individu-individu yang positif dan bermotivasi untuk berinteraksi
  • Dapatkan panduan berguna dengan bertanya mereka yang telah berjaya
  • Semasa viva:
*                  datang awal supaya dapat bertenang.
*                  Pastikan semua keperluan dibawa: tesis, komputer riba, pen, pensil, kertas, ringkasan eksekutif, air mineral dan lain-lain yang dirasakan perlu.
*                  Semasa menunggu, bertenanglah. Jangan lupa berzikir dan  berselawat.
*                  Anggaplah penilai-penilai sebagai pasukan yang akan membantu mengesahkan kejayaan anda.
*                  Semasa pembentangan
Ø    tunjukkan keyakinan nescaya anda akan diyakini
Ø    pastikan pembentangan anda menarik
Ø    Keupayaan membentang tesis dengan padat, tepat dan spesifik pada masa yang ditetapkan  merupakan antara kemahiran profesional yang perlu anda kuasai sebagai seorang calon “Dr.”.
*                  Beri respons yang baik kepada setiap persoalan dan kritikan/cadangan
*                  Soalan yang dikemukakan:
Ø    menguji sejauh mana keupayaan mempertahankan setiap hujah dalam tesis
Ø     meminta penjelasan lanjut terhadap apa yang ditulis
Ø    meyakinkan pemeriksa bahawa anda dan tesis anda layak diiktiraf untuk dianugerah Ph.D
Ø     untuk membuktikan anda betul-betul pakar dalam bidang kajian
Ø     beri jawapan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan
Ø     beri masa untuk diri anda berfikir sebelum menjawab
Ø     pamerkan keyakinan, kebijaksanaan dan penguasaan tesis yang mantap
Ø    bagi menyokong jawapan, kenal pasti rujukan utama yang digunakan dalam tesis - sebut rujukan ini dengan yakin
Ø    bertenang dan bersikap terbuka - terima cadangan yang diberi dengan berhati-hati dan bijak.
Ø    jangan menganggap setiap cadangan yang dikemukakan sebagai saranan untuk mengubah tesis anda
*                  Kekalkan ketenangan dalam diri
*                  terus pamerkan keyakinan dan kebijaksanaan
*                  kekalkan hubungan menegak anda – dengan Allah s.w.t.
  • Selepas viva;
*                  Hargai individu-individu yang hendak meraikan anda
*                  penuhilah hasrat mereka - mereka juga ada hak untuk diraikan
*                  mereka biasanya merupakan orang-orang yang dekat dengan anda dan membantu anda berjaya
  • Jangan bertangguh – buat pemurnian tesis secepat mungkin
  • Buat temujanji dengan penyelia dan pemeriksa dalam dan pemeriksa luar
  • buat persediaan secukupnya sebelum berjumpa dengan mereka.
  • Guna teknologi bagi menjimatkan masa – contohnya: email
  • Lihatlah kesesuaian dan keutamaan mereka dan cuba penuhinya
  • Jangan berkira dengan kos, masa dan tenaga
  • Bersabarlah dengan karenah pemeriksa dalam dan luar
  • Jangan berputus asa - harga sebuah kejayaan juga terletak kepada kesabaran dan ketabahan
  • Ph.D: lebih utama - proses dilalui, berbanding dengan sekeping ijazah yang diterima.
  • buatlah temu janji dengan bijak agar perjumpaan dengan penyelia, pemeriksa dan pegawai PPS dalam tempoh masa yang sama
  • Pemurnian tesis:
*                  Buat yang terbaik
*                  tesis anda bakal dirujuk oleh pelajar-pelajar Ph.D
*                  Beri masa yang secukupnya untuk memastikan tiada kesilapan pada tesis
*                  Jika perlu, dapatkan bantuan individu yang dirasakan sesuai untuk menyemak tesis
*                  Tesis Ph.D. harus berada pada tahap cemerlang!
*                   Peluang membuatnya: sekali seumur hidup
  • kenal pasti kedai yang dapat membuat penjilidan terbaik.
  • janganlah terlalu berkira untuk membayar demi jaminan kualiti
  • Serahkan tesis kepada fakulti dan lain-lain institusi berkaitan demi memanfaatkan ilmu, keberkatan diri dan integriti


1 comment:

  1. MasyaAllah.. sebuah penulisan dn coretan pengalaman yg bernilai.. jazakumullah khayran atas ilmu ini..amin

    ReplyDelete